Semua orang pernah melakukan kesilapan dalam merancang perjalanan hidup dan itu bukan alasan untuk kita terus mengalah malah ianya merupakan pembakar semangat untuk kita berjaya dalam kehidupan. Sama juga seperti kisah pemuda bernama Rayyan Harries yang berasal dari Kuala Lumpur ini. Kerana tersilap dalam percaturan hidup, dia dibuang dari universiti dan ditamatkan biasiswa.
Bukan itu sahaja, malah beliau turut dibuang kerja dan akhirnya dipaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu menjelaskan bayaran sewa rumah. Tetapi disebalik kesulitan yang dialami, itu bukan alasan untuknya terus gagal. Dia mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu yang bermakna bukan sahaja untuk dirinya, malah orang yang berada disekelilingnya dengan menyumbang dan membantu golongan yang lebih memerlukan atau kurang bernasib baik.
Kata Rayyan, kita semua terlalu leka dalam mengejar kekayaan dunia dan hanya terlalu mementingkan diri sendiri tetapi kita terlupa untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Dengan berbekalkan wang yang disimpannya selama tiga tahun, blogger traveller ini mengambil keputusan untuk mengembara sambil beramal di 15 buah negara.
Indonesia merupakan negara pertama yang dilawatinya pada empat tahun lepas dan beliau juga turut membuat aktiviti sukarelawan di beberapa buah negara yang dilanda bencana alam seperti Jepun dan Nepal selepas dilanda gempa bumi serta Filipina yang dilanda Taufan Haiyan.
Menceritakan tentang bagaimana dia memperolehi wang untuk menampung perbelanjaan pengembaraannya, beliau menjelaskan dana yang dikumpulnya adalah dengan melakukan kerja secara sambilan di setiap negara yang dilawatinya termasuk melakukan kerja-kerja kampung seperti bekerja di kebun sayur, memetik buah malah beliau juga terlibat dalam menghasilkan artikel yang berkaitan dengan pelancongan.
Pada bulan Julai yang lepas, dia mengembara ke India dan Nepal untuk melakukan kajian tentang tempat-tempat menarik dan kerja sosial di sana. Idea untuk melakukan kerja amal sambil mengembara bermula ketika beliau baru sahaja menceburkan diri dalam dunia “backpacker”. Rayyan yang juga mempunyai ramai kenalan di seluruh dunia berpendapat mengapa tidak dia memanfaatkan kunjungannya ke negara lain dengan melakukan kerja amal?
Pengalaman yang diperolehinya sebagai backpacker banyak mengajar dan melatih dirinya untuk melakukan kerja amal secara serius dan melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup. Kini beliau mempunyai 20,000 pengikut di laman sosial dan aktif mempromosikan kempen sukarelawan kepada mereka.
Terbaru, Rayyan kini sedang merangka rancangan dan sibuk dalam projek The Vounteer Cook yang bertujuan membantu pelarian perang di Kepulauan Lesvos, Greece. Menerusi kempen #Give50Cent, beliau berharap dapat mengumpul 0.50 euro (bersamaan RM2.50) untuk satu set hidangan makanan buat pelarian tersebut.
Bagi anda yang ingin mengetahui lebih mendalam kisah pengembaraan dan pengalaman pemuda ini mejelajah ke negara luar, anda boleh layari blog traveller ini di www.thebigsmallboy.com.
Sumber dari The Rakyat Post
0 Response to "Lelaki Jobless Ini Mampu Mengembara Ke 15 Buah Negara Sambil Melakukan Kerja Amal"
Catat Ulasan