Traveler Malaysia Ini Lakukan Pengembaraan Solo Secara Berbasikal Ke 13 Buah Negara Di Benua Eropah

Hanya 3 bulan sahaja masa diambil oleh pemuda tempatan ini untuk menjelajah secara solo ke 13 negara di benua Eropah dengan berbasikal sejauh 4,300 kilometer. Aedewan Mohamed Adnan menjelaskan pengembaraan solo ini adalah sesuatu pengalaman yang paling berharga dan tidak akan dilupa oleh dirinya.

Sumber dari facebook Aedewan Adnan
Memulakan perjalanan beliau dari Istanbul, Turki  pada bulan April yang lepas, Aedewan Mohamed yang berusia 35 tahun melahirkan perasaan gembira apabila hasratnya tercapai berbasikal dari Pantai Adriatic hingga semenanjung Balkan.
Menurut Aedewan, kebiasaannya dalam sehari dia akan mengayuh sejauh 60 hingga 80 kilometer merentasi negara Bulgaria, Macedonia, Albania, Montenegro, Croatia, sebahagian kecil negara Bosnia, Slovenia, Austria, Germany, Netherlands, Belgium, France sebelum mengakhiri pengembaraan solonya di England.

Sumber dari facebook Aedewan Adnan
Melalui pengalamannya sendiri menjelajah secara solo, dia bebas untuk melakukan apa sahaja yang diinginya.
” Saya berehat seketika apabila berasa penat ataupun berhenti untuk melihat pemandangan tercantik sepanjang perjalanan berbasikalnya itu.
” Saya juga berbual dengan penduduk setempat yang berasa amat selesa dan senang dengan kehadirannya sebagai seorang pengembara solo,” jelas Aedewan dalam temubual bersama The Rakyat Post.
Pengembaraan pertama Aedewan bermula apabila dia dan ayahnya berbasikal ke acara sukan Olimpik di London dari Kolkata, India pada tahun 2011. Dia menyertai ayahnya di Kolkata dan mengambil masa selama 7 bulan berbasikal untuk tiba di London.

Sumber dari Facebook Aedewan Adnan
Ayahnya merupakan sumber inspirasi beliau untuk mengembara secara solo dengan berbasikal selepas kayuhan pertama ayahnya bermula dari Kuala Lumpur ke Negara China untuk acara Sukan Olimpik Beijing. Tetapi pengembaraan bapanya tidak berjaya sampai ke pengakhiran kerana tidak mendapat visa untuk masuk ke negara tersebut.
Pengembaraan solonya baru-baru ini banyak mengajar beliau tentang cara hidup dan budaya masyarakat di sana kerana dia selalu sahaja dipelawa untuk makan atau minum bersama. Ada juga individu yang ditemuinya menawarkan untuk bermalam di rumah mereka.

Sumber dari facebook Aedewan Adnan

Kekurangan dalam pengembaraan solo ini ialah dia selalu merasa kesunyian tetapi itu bukan menjadi penghalang untuk dirinya berjaya dalam misi ini kerana dia melihat kekurangan ini dari sudut positif.
Ada satu pengalaman yang tidak boleh beliau lupakan ketika misi penjelajahannya apabila menerima jemputan perkahwinan dari pasangan yang beliau jumpa di German bersama bapanya ketika dalam misi penjelajahan mereka sebelum ini.
Perkahwinan yang berkonsepkan dalam taman itu diadakan di Bavaria dan merupakan pengalaman yang sungguh unik buat dirinya.

Sumber dari Facebook Aedewan Adnan
Lake Constance di German merupakan tempat kegemarannya kerana lokasi itu berlatar belakangkan pemandangan Alps yang sangat memukau mata.
Ditanya mengenai risiko penjelajahan solonya untuk kali ini, Aedewan menjelaskan semuanya berada dalam keadaan baik termasuk kesihatan dirinya walaupun terpaksa mengharungi keadaan panas terik ketika melakukan kayuhan basikal merentasi semenanjung Balkan.
Masyarakat disitu juga sangat peramah dan selalu memberikan bantuan apabila dirinya berada ditimpa kesusahan. Aedewan juga turut menyatakan rakyat Malaysia sebenarnya sangat-sangat bertuah kerana mereka bebas untuk melancong atau mengembara ke 166 buah negara tanpa memerlukan visa.
Jadi ini adalah peluang yang perlu diterokai dan beliau menggalakkan rakyat Malaysia untuk  mengikuti jejak langkahnya dan keluar dari zon selesa serta menimba  pengalaman dan ilmu yang bermanfaat melalui aktiviti pengembaraan.

Sumber dari Facebook Aedewan Adnan
” Anda tidak perlu risau kerana anda akan berjumpa dengan ramai individu yang sanggup menawarkan bantuan kerana mereka amat tertarik dengan cara kita menawan dunia menggunakan basikal” ujar Aedewan.
Bercerita mengenai perbelanjaan pula, Aedewan mengumpul dana melalui hasil yang diperolehinya menjual “action figure” secara online. Menurutnya, pengembaraan menggunakan basikal tidak memerlukan belanja yang besar dan perlu memiliki keperluan kecil seperti khemah, dapur, makanan dalam tin, air dan lain-lain.
Aedewan akan pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat dan tidak sabar untuk berjumpa dengan sahabat dan keluarga tercinta. Dia juga merancang untuk melakukan pengembaraan solo secara berbasikal yang lebih mengujakan dari misinya sebelum ini.

0 Response to "Traveler Malaysia Ini Lakukan Pengembaraan Solo Secara Berbasikal Ke 13 Buah Negara Di Benua Eropah"

Catat Ulasan